Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
PENANJONG, Rabu, 11 Februari. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Leftenan Kolonel (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, hari ini berkenan berangkat ke Majlis Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Jubli Emas Rejimen Pasukan Khas Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (RPK ABDB).
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Leftenan Kolonel (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen di Surau Asy-Syuja'ah, Perkhemahan RPK ABDB, Penanjong Garison dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Turut menjunjung, Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; dan Pegawai Pemerintah RPK ABDB.
Sejurus masuk waktu Maghrib, Azan berkumandang dan seterusnya mendirikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah.
Majlis diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah bagi memohon kesihatan dan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Majlis disusuli dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil serta Doa Khas sempena Sambutan HUT Jubli Emas RPK ABDB, yang dipimpin oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar, dan diakhiri dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah.
Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya dijunjung bagi Majlis Santap Malam.
Bagi memberkati majlis, Doa Kesyukuran dibacakan oleh Leftenan Kolonel Abdul Mujib.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM berkenan menerima junjung ziarah daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan dan Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif ABDB serta anggota-anggota RPK ABDB.
.jpg)

